Owen Mumford terbit laporan tindakan bertanggungjawab tahunan memfokuskan pensijilan B Corp dan pencapaian sasaran berasaskan sains
WOODSTOCK - OXFORDSHIRE, England, 16 Mac 2022 – Pengilang peranti perubatan terkemuka Owen Mumford telah menerbitkan Laporan Tindakan Bertanggungjawab tahunan yang terkini, memfokuskan kemajuan dan pencapaian tahun 2021 termasuk pensijilan B Corp yang diterima baru-baru ini dan penjajaran dengan inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (Science Based Targets initiative, SBTi) untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2045, seiring dengan usaha syarikat untuk mengukuhkan strategi kemampanan dan mempersiap operasi syarikat untuk masa akan datang.
Pada bulan Jun 2021, Owen Mumford telah dianugerahkan pensijilan B Corp sebagai pengiktirafan terhadap komitmen syarikat kepada tanggungjawab sosial korporat dalam hal ehwal alam sekitar, tadbir urus, penglibatan komuniti, sokongan pekerja dan pengurusan pelanggan. Pensijilan ini menjadikan Owen Mumford salah satu daripada pengilang peranti perubatan yang pertama di dunia meraih pencapaian ini, sebaris dengan lebih 4,000 perniagaan global yang berusaha untuk meningkatkan tanda aras mereka dan menambah baik standard dalam semua industri.
Laporan ini memperincikan kemajuan organisasi dalam Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG) yang dipilih, merangkumi aspek kesejahteraan, infrastruktur dan penggunaan secara bertanggungjawab. Antara pencapaian penting pada tahun 2021 termasuklah sokongan berterusan kepada usaha mendorong golongan wanita untuk mengambil mata pelajaran STEM melalui kolaborasi setempat dengan sekolah dan kolej, penilaian berterusan bagi output logistik untuk mengurangkan pelepasan karbon dan masa tunggu pelanggan. Inisiatif yang lain menyokong komitmen syarikat kepada rakan sekutu syarikat, pelanggan, produk dan bumi.
“Tahun lepas memang mencabar kerana kita memasuki tahun kedua pandemik. Mujurlah tahun 2021 menyaksikan pertumbuhan, tindakan dan yang penting sekali, daya tahan bagi Owen Mumford. Sama ada meraih pensijilan B Corp, memberikan komitmen kepada usaha mengurangkan jejak karbon atau meneruskan pelaburan pada produk yang lebih mampan, memang banyak yang boleh kita banggakan,” ujar Jarl Severn, Ketua Pegawai Eksekutif Owen Mumford. “Matlamat kita adalah untuk meneruskan impak positif pada industri peranti perubatan, memimpin melalui teladan melalui cara produk harus dihasilkan secara bertanggungjawab, cara syarikat dikendalikan secara beretika dan cara masa depan perlu dipelihara. Saya berharap kerja keras dan komitmen daripada setiap orang di Owen Mumford menjadi pendorong kepada syarikat dan individu lain untuk melaksanakan pelan tindakan mereka sendiri, dan seterusnya berusaha mencapai masa depan yang lebih baik untuk semua.”
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Laporan Tindakan Bertanggungjawab bagi tahun ini, sila layari www.owenmumford.com/en/responsibility