Owen Mumford lantik pengarah penyelidikan dan pembangunan baharu

Jun 2022

WOODSTOCK - OXFORDSHIRE, England, 8 Jun 2022 - Owen Mumford, peneraju reka bentuk, pembuatan dan kemajuan peranti perubatan global hari ini mengumumkan pelantikan Bal Johal sebagai pengarah penyelidikan dan pembangunan, berkuat kuasa 4 Julai 2022.

Johal berpengalaman luas dalam sektor farmaseutikal dan peranti perubatan, merangkumi pelbagai bidang terapeutik dan bentuk dos, terkini sebagai naib presiden pembangunan produk, kualiti, kawal selia dan perubatan di Circassia. Terdahulu, beliau memegang jawatan penyelidikan dan pembangunan di GlaxoSmithKline, Pfizer dan Mundipharma Research Ltd.

Penyelidikan dan pembangunan sememangnya menjadi teras penawaran unik Owen Mumford dan merupakan tonggak utama dalam hala tuju dan pembangunan strategik syarikat. Pemilihan Johal dalam jawatan penting ini akan mengukuhkan lagi kualiti dan kekuatan penawaran syarikat yang sedia ada. Pelantikan ini akan turut memperkukuh hala tuju yang jelas untuk mencapai matlamat baharu dalam inovasi, reka bentuk produk lestari, analisis kitaran hayat dan meningkatkan impak positif pada pengalaman profesional penjagaan kesihatan dan juga pesakit.

“Kami amat mengalu-alukan kedatangan Bal,” ujar Jarl Severn, pengarah urusan di Owen Mumford. “Beliau mempunyai latar belakang, pengalaman dan semangat untuk meneruskan momentum inovasi dan kemajuan yang akan menyaksikan kita mencapai pertumbuhan yang hebat sekali gus membolehkan kita mendahului pesaing.”

Mengulas pelantikannya, Johal berkata, “Menyertai Owen Mumford ketika ini memang mengujakan. Gandingan kemajuan yang telah dicapai dan individu yang sangat berbakat dalam organisasi, saya yakin kami dapat meraih kejayaan dan inovasi yang besar, yang akan benar-benar memberikan impak positif.”