Meraikan ulang tahun ke-70: Owen Mumford kongsi kisah pembuatan produk penjagaan kesihatan yang lebih pintar dan lestari
Pembuat peranti perubatan Owen Mumford meraikan ulang tahun yang ke-70 tahun ini. Jesper Jonsson, Pengarah Peranti Perubatan, mengimbau pencapaian yang telah berjaya diraih sehingga hari ini oleh syarikat milik keluarga ini, dan cita-cita bagi dekad yang mendatang.
Bagaimanakah bermulanya Owen Mumford?
Syarikat telah ditubuhkan pada tahun 1952 oleh Ivan Owen dan John Mumford. Mereka bermula di sebuah garaj kecil dan sempit, dengan matlamat untuk menambah baik kualiti produk perubatan yang sedia ada. [1] Dari situ, mereka beralih kepada mereka bentuk acuan aluminium untuk industri pengacuan suntikan plastik. Berbekalkan ilmu tentang proses pengacuan terkini, mereka mula mereka bentuk peranti perubatan asli. [2] Syarikat mula berkembang daripada perniagaan kecil yang dikendalikan oleh keluarga di Woodstock, di pinggir Oxford, kepada pereka peranti perubatan global dan rakan niaga yang dipercayai kepada beberapa syarikat farmaseutikal dan diagnostik terbesar dunia, dengan pejabat yang terletak di AS, Perancis, Jerman dan Malaysia.
Sepanjang 70 tahun yang lalu, Owen Mumford telah menghasilkan beberapa produk ‘pertama di dunia’, bermula dengan peranti lanset automatik pertama untuk diabetes. Apakah impak inovasi awal ini?
Susulan perbualan dengan dua orang profesor daripada Makmal Penyelidikan Diabetes Universiti Oxford pada tahun 1977, Owen Mumford telah diberi peluang untuk mereka bentuk dan menghasilkan peranti perubatan yang unik: peranti lanset automatik yang pertama di dunia untuk diabetes. Autolet® telah dilancarkan pada tahun 1978, sekali gus mengukuhkan perniagaan sebagai pereka peranti perubatan, tetapi yang lebih penting, meningkatkan pemantauan darah dengan signifikan untuk mengesan diabetes di seluruh dunia.
Kami turut berbangga kerana berjaya mempelopori penyuntik automatik plastik yang pertama di dunia (Autoject®), agar lebih mudah bagi pesakit daripada semua peringkat usia untuk menyuntik ubat yang menggunakan picagari. Inovasi lain termasuklah pen insulin automatik (Accupen®) dan jarum pen serta pelupus semua dalam satu yang pertama seumpamanya (Unifine® Pentips® Plus).
Rangkaian produk diabetes Owen Mumford merangkumi jarum pen keselamatan aktif. Apakah kebaikan menggunakan produk aktif, yang memerlukan pengaktifan mekanisme keselamatan secara manual?
Dengan jarum pen keselamatan Unifine SafeControl® [3] kami, pengguna terlibat secara aktif dalam proses keselamatan dengan menekan tab tekan untuk menarik keluar jarum setelah suntikan selesai. Maksudnya, pengguna boleh memastikan keseluruhan dos diterima sebelum menarik keluar jarum, maka mereka tidak perlu berasa bimbang.
Untuk perlindungan maksimum, pengguna boleh mendengar dan melihat mekanisme keselamatan diaktifkan, dan produk dilengkapi pelindung yang menutup kedua-dua hujung jarum selepas suntikan. Oleh sebab jarum dapat dilihat, pengguna mempunyai kawalan sepenuhnya semasa proses suntikan. Jarum keselamatan berfungsi sama seperti jarum pen konvensional, supaya suntikan dapat dijalankan secara intuitif.
Selain diabetes, adakah Owen Mumford membuat peranti perubatan untuk bidang terapeutik lain?
Oleh sebab kami memulakan pembuatan dengan produk diabetes, anda mungkin tidak tahu bahawa kami juga membuat peranti perubatan dalam bidang terapi yang lain. Kami melancarkan rangkaian produk pengambilan darah melalui vena yang baharu pada tahun ini. Dengan kepakaran dan pengalaman kami dalam pensampelan darah kapilari, kami telah mereka produk yang mengoptimumkan keselamatan, keselesaan dan kualiti. Kecederaan akibat tusukan jarum boleh menjadi isu yang serius dalam kebanyakan persekitaran klinikal, dan peranti kami telah direka bentuk untuk membantu melindungi pesakit dan juga profesional penjagaan kesihatan.
Akhir sekali, kami juga mempunyai bahagian kedua, Owen Mumford Pharmaceutical Services ompharmaservices.com yang mengkhusus dalam reka bentuk, pembangunan dan pembuatan sistem penyampaian ubat boleh suntik untuk industri farmaseutikal, bioteknologi dan generik yang digunakan setiap hari dalam penyampaian pelbagai ubat bagi berjenis-jenis penyakit di seluruh dunia. Produk ini disokong oleh sepasukan pakar farmaseutikal yang bekerjasama dengan rakan niaga dalam pembangunan produk.
Portfolio produk Pharmaceutical Services termasuklah UniSafe®, peranti keselamatan pasif tanpa pegas untuk picagari praisi, dan Aidaptus®, penyuntik automatik pakai buang dua langkah yang boleh disesuaikan dengan isi padu isian berbeza dengan hanya menggunakan satu peranti, sekali gus menyediakan penyelesaian bagi perubahan formulasi semasa pembangunan dan pengurusan kitar hayat.
Apakah keunikan syarikat?
Kami mencari bakat dalam setiap disiplin, daripada reka bentuk hingga kejuruteraan, untuk menterjemahkan idea hebat kami kepada realiti komersial yang berdaya maju – dengan matlamat akhir untuk menambah baik kualiti kehidupan pesakit. Kami berbual dengan pesakit dan profesional penjagaan kesihatan untuk memahami cara mereka menggunakan peranti perubatan, risiko yang dihadapi oleh mereka, kekecewaan dan kecenderungan mereka. Kefahaman ini, yang digabungkan dengan pasukan pelbagai disiplin termasuk jurutera R&D, pakar faktor manusia dan peguam paten, membantu kami mereka bentuk peranti yang dioptimumkan untuk pengguna akhir. Kami sentiasa berusaha menyelesaikan isu lazim yang berkaitan peranti sedia ada, supaya kami senantiasa berinovasi dan menaik taraf penawaran peranti kami.
Kelestarian merupakan cabaran utama dan keutamaan bagi setiap industri. Bagi pembuat peranti perubatan guna sekali, terdapat cabaran tambahan untuk mengimbangi isu alam sekitar dan kawalan jangkitan. Apakah pendekatan yang diambil oleh Owen Mumford untuk menangani isu ini?
Menangani kelestarian dalam industri peranti perubatan memerlukan pendekatan holistik dalam proses dan operasi. Kita memfokuskan pengoptimuman proses dalam semua operasi untuk mengurangkan impak alam sekitar secara keseluruhan. Kami sudah menyertai beberapa inisiatif yang akan membantu kami mencapai matlamat kelestarian syarikat. Penyertaan dalam inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (Science Based Targets, SBTi) [4] membantu kami menentukan tempoh kami boleh mengurangkan karbon gas rumah hijau. Dengan sasaran ini, kami yakin dapat mencapai matlamat karbon sifar bersih menjelang tahun 2045 dan mengurangkan karbon sebanyak separuh menjelang tahun 2030. Untuk memastikan kami mematuhi jadual dan bertanggungjawab, kami akan menjalani penilaian pihak ketiga bagi mendapatkan pentauliahan B Corp [5] – kami berasa sungguh bangga kerana menjadi salah satu syarikat pembuat peranti perubatan pertama di dunia yang memperoleh pensijilan ini.
Meskipun menetapkan sasaran adalah penting, kami juga meraih kemajuan yang sebenar. Tapak syarikat di UK kini menggunakan sumber kuasa yang terdiri daripada tenaga boleh baharu 99%+ termasuk tenaga yang kami jana sendiri di tapak melalui panel solar. Di tapak UK, AS dan Malaysia, kami telah berjaya mengurangkan keluaran karbon skop 1 dan skop 2 [6] sebanyak 27.3%.
Apakah proses penilaian yang terangkum dalam pentauliahan B Corp, dan mengapakah anda memilih laluan ini?
Setelah menetapkan matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Sustainable Development goals, SDG), pentauliahan B Corp merupakan langkah seterusnya dalam usaha kelestarian kami. Walaupun begitu, pensijilan B Corp bukan sahaja menjadi bukti komitmen Owen Mumford terhadap alam sekitar, malah turut meliputi aspek lain dalam pengurusan perniagaan bertanggungjawab. Penilaian ini menyemak beberapa aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan ketat untuk menentukan sama ada segala proses menepati masa depan yang bukan hanya mementingkan keuntungan.
Kami rasa penting untuk kami mendapatkan penilaian luar untuk menilai kemajuan kami agar komitmen kelestarian kami lebih bermakna. Secara khususnya, kami berusaha mendapatkan pentauliahan B Corp kerana pensijilan ini bukan standard yang statik. Sebaliknya, pensijilan ini membantu syarikat mengurus kemajuan berterusan yang selaras dengan penanda aras ESG, agar kami sentiasa cuba meningkatkan usaha. Setiap tahun, kami menerbitkan Laporan Tindakan Bertanggungjawab [7] di laman web Owen Mumford untuk berkongsi setiap kemajuan matlamat syarikat. Sememangnya bagus syarikat berkongsi usaha yang dilakukan dalam aspek ini, supaya kita boleh belajar daripada satu sama lain – kami berharap akan ada lebih banyak kerjasama dengan lebih banyak syarikat selepas ini.
Laporan Tindakan Bertanggungjawab 2022 membincangkan usaha yang dilaksanakan oleh Owen Mumford untuk menyokong kaum wanita dalam bidang kejuruteraan. Bolehkah anda ceritakan lebih lanjut tentang inisiatif ini?
Salah satu SDG yang kami pilih ialah meningkatkan kesamaan jantina di syarikat kami. Antara langkah yang dilaksanakan untuk menyokong matlamat ini ialah program latihan laluan kepimpinan dan pengurusan, yang meliputi sikap berat sebelah yang tidak disengajakan dan memberikan pendidikan konsisten kepada rakan sekerja, yang disampaikan oleh pakar pihak ketiga.
Kurang satu pertiga tenaga kerja STEM terdiri daripada wanita, [8] justeru kami ingin membantu untuk mengurangkan ketidakseimbangan ini. Kolaborasi dengan sekolah dan kolej setempat, dan penajaan kerjaya awal, program perantisan dan latihan amali merupakan beberapa cara yang telah kami cuba untuk mencetuskan impak. Selain itu, sejak tahun 2017, kami memantau dan menangani sebarang perbezaan gaji antara jantina di semua tapak kami.
Apakah rancangan seterusnya bagi Owen Mumford?
Sekarang merupakan detik yang sangat mengujakan di Owen Mumford! Kami sedang membina kemudahan pengeluaran canggih yang baharu di Witney, Oxfordshire. Projek bernilai £14 juta ini meletakkan prinsip kelestarian sebagai teras untuk mencapai pensijilan BREEAM [9], yang menjadi kayu ukur prestasi kelestarian ekonomi. Kemudahan ini akan menjadi penanda aras bagi reka bentuk dan pembangunan bertaraf dunia bagi peranti perubatan, yang merupakan pusat kecemerlangan automasi dan pemasangan.
Selain itu, kami mengalu-alukan pengarah penyelidikan dan pembangunan yang baharu pada tahun ini [10]. Bal Johal berpengalaman luas dalam industri peranti perubatan dan farmaseutikal, setelah berkhidmat di Circassia, GlaxoSmithKline, Pfizer dan Mundipharma Research Ltd. Pengetahuan beliau amat penting memandangkan kami bakal membangunkan produk inovatif baharu yang akan menambah baik pengalaman profesional penjagaan kesihatan dan juga pesakit.
Rujukan
1. The Times. (2008). John Mumford and family. https://www.thetimes.co.uk/article/john-mumford-and-family-sp953q95p5p
2. Labmate Online. (2012). Owen Mumford Celebrates 60th Anniversary 1952-2012. https://www.labmate-online.com/news/news-and-views/5/owen-mumford-ltd/owen-mumford-celebrates-60th-anniversary-1952-2012-nbsp/22767
3. https://www.owenmumford.com/en/medical-devices/diabetes-care/unifine-safecontrol/safety-pen-needle
4. Science Based Targets initiative – https://www.owenmumford.com/en/node/404
5.https://www.bcorporation.net/en-us/certification
6. https://ghgprotocol.org
7. https://www.owenmumford.com/sites/owen-mumford/files/owen-mumford/responsibility/Responsible Action Report 2022_0.pdf
8. AAUW. The STEM Gap: Women and Girls in Science, Technology, Engineering and Maths. www.aauw.org/resources/research/the-stem-gap
9. https://bregroup.com/products/breeam/how-breeam-works/
10. https://www.owenmumford.com/en/owen-mumford-appoints-new-director-research-and-development